Saturday 24 December 2011

PENULISAN


PENULISAN
Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa bertajuk “Malang tidak berbau”.


* Sila klik pada rajah untuk mendapat saiz yang besar.


Thursday 15 December 2011

LATIHAN


LATIHAN
Pilih jawapan yang betul.


1          Nenek merungut melihat kami yang __________________.
            A   anak emas                           C         akal kancil
            B    anak buah                           D         kepala batu

2          Semua murid tidak __________________ apabila guru berjenaka.
            A         kering gusi                C         cangkul angin 
            B          tidur ayam                D         puteri lilin
           
3          Anissa ____________________ apabila disindir oleh rakan-rakannya.
             A         besar hati                 C         kecut perut
             B          kecil hati                   D         keras kepala


4          ______________________ Cikgu Hamilah diterima oleh oleh Guru Besar.
            A         Buah hati                              C         Buah tangan
            B          Buah mulut                           D         Buah fikiran


5          Lelaki yang merayau-rayau di tepi jalan itu sudah dua tahun _______________.
            A         akal kancil                            C         anak buah
            B          hilang akal                           D         panjang akal


6          Jalan ke Kampung Melur memang berliku-liku seperti _____________________.
            A         ular kena palu
            B          kaca terhempas ke batu
            C         itik pulang petang
            D         hempedu lekat di hati

7          Kehadiran Nurul menjadikan majlis itu riuh-rendah kerana sikapnya            ______________________.
            A         bagai anjing dengan kucing
            B          bagai ayam disambar helang
            C         bagai itik pulang petang
            D         bagai murai tercabut ekor


8          Mereka memang berkawan rapat dan sentiasa bersama ke mana sahaja
            seperti _________________________.
            A         anjing dengan kucing
            B          embun di hujung rumput
            C         isi dengan kuku
            D         Iayang-layang putus tali


9          Diana hidup mewah dan ibunya melayan _________________________ kerana
dia anak tunggal.
A         bagai menatang minyak yang penuh
B          bagai ketam mengajar anaknya
C         bagai bulan dipagari bintang
D         bagai gagak menggonggong telur


10        Farhan kini hidup ____________________________ kerana dia tidak mengenang
jasa ibu angkatnya.
A         bagai telur di hujung tanduk
B          bagai hati lekat di hempedu
C         bagai si buta kehilangan tongkat
D         bagai kacang lupakan kulit



Monday 5 December 2011

Simpulan Bahasa 5

Perumpamaan
Seperti ayam berak kapur
Maksud – Muka pucat dan tidak bermaya.
√ Ayat – Oleh kerana dia tidak sihat, rupanya pucat seperti ayam berak kapur.

Bidalan
Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
Maksud – Budi baik seseorang tidak akan dilupakan walaupun orang itu sudah  
                    meninggal dunia.
√ Ayat -  Walaupun Encik Siva sudah lama meninggal, budi baiknya masih dikenang
                  oleh Hilman, baka kata pepatah hancur badan dikandung tanah, budi baik
                  dikenang juga.
Pepatah
Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan
Maksud – Menunjukkan kesyukuran atas pemberian kepada kita.
√ Ayat – Dia berterima kasih di atas pertolongan ikhlas jiran-jirannya yang telah
                 menderma untuk pembedahan anaknya, seperti kecil tapak tangan, nyiru
                 ditadahkan.

Simpulan Bahasa
Mencolok mata
Maksud – Perbuatan yang tidak sedap dipandang.
√ Ayat – Tuk Usu menegur cucu perempuannya yang memakai pakaian mencolok
                 mata.



Simpulan Bahasa 4

Perumpamaan
Bagai kacang lupakan kulit
Maksud - Orang yang tidak tahu mengenang budi.
√ Ayat – Dia bagai kacang lupakan kulit kerana tidak mempedulikan Pak Ismail 
                yang pernah menolongnya.

Bidalan
Biar lambat asal selamat
Maksud - Membuat sesuatu kerja biarlah cermat dan berhati-hati.
√ Ayat - Sewaktu memandu di jalan raya, amalkanlah sikap biar lambat asal selamat  
               supaya tidak berlaku kemalangan.

Pepatah
Genggam bara api biar sampai jadi arang
Maksud -  Melakukan sesuatu pekerjaan sehingga berjaya.
√ Ayat - Walaupun perniagaannya agak mundur, dia tetap bersabar kerana dia  
               percaya jika genggam bara api biar sampai jadi arang, lambat-laun
               perniagaannya itu akan berjaya juga.

Simpulan Bahasa            
Gadai nyawa
Maksud - Sanggup mati.                                                                                        
√ Ayat - Anggota pasukan keselamatan sanggup bergadai nyawa demi
               mempertahankan negara daripada ancaman musuh.




Simpulan Bahasa 3

Perumpamaan                                                                                                                             
Seperti langit dengan bumi
Maksud – perbezaan yang amat ketara
√ Ayat – Walaupun mereka adik-beradik tetapi perangai mereka seperti langit dengan   
                 bumi bezanya.

Bidalan
Biar titik, jangan tumpah
Maksud – Biar rugi sedikit jangan rugi banyak.
√ Ayat – Untuk mengelakkan kerugian yang besar, peniaga itu sanggup menurunkan  
                 harga barangannya kerana biar titik, jangan tumpah.

Pepatah
Kalah jadi abu, menang jadi arang
Maksud – Sesuatu pergaduhan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak sama
                     ada yang kalah atau yang menang.
√ Ayat – Tidak ada faedahnya kamu bergaduh dengan Azman kerana kalah jadi abu,       
                 menang jadi arang. Lebih baik kamu berdua berbaik-baik semula.

Simpulan Bahasa
Cari makan
Maksud – Bekerja untuk mendapatkan rezeki.
√ Ayat – Sudah sepuluh tahun Mak Bedah cari makan dengan menjual nasi lemak.

Kata-kata Hikmat
Hilang bahasa lenyap bangsa
Maksud – Sekiranya seauatu bahasa tidak digunakan lagi, lambat-laun bangsanya
                     akan turut lenyap.
√ Ayat – Setiap rakyat Malaysia harus mempelajari, menguasai dan menggunakan
                 bahasa Melayu dalam urusan sehari-harian kerana hilang bahasa lenyap  
                 bangsa.

Friday 18 November 2011

Simpulan Bahasa 2

 Perumpamaan
Bagai si kudung mendapat cincin      
Maksud – Orang yang tidak dapat merasai nikmat atau menggunakan kemudahan yang diperoleh.
Ayat – Dia bagai si kudung mendapat cincin kerana tidak dapat tinggal di rumah pusaka yang diwarisinya.                             

Bidalan
Biar mati anak jangan mati adat
Maksud – Pegangan adat yang kuat sehingga sanggup anak menjadi korban.
√Ayat – Masyarakat masih mengamalkan banyak adat istiadat lama kerana mereka percaya biar mati anak jangan mati adat.

Pepatah
√ Biar putih tulang, jangan putih mata
Maksud – Rela mati daripada mendapat malu.
Ayat – Mereka sanggup berjuang bermati-matian untuk kemerdekaan negara kerana biar putih tulang, jangan putih mata.

Simpulan Bahasa
√ Buah fikiran
Maksud – Pendapat.                                               
Ayat – Mereka diminta memberi buah fikiran untuk menyelesaikan masalah itu.

Kata-Kata Hikmat
√ Bahasa menunjukkan bangsa
Maksud – Daripada budi bahasa dan kelakuan, orang dapat menilai peribadi dan asal-usul kita.
Ayat – Semasa berbual dengan pelancong-pelancong dari luar negara, kita mesti bertutur dengan sopan kerana bahasa menunjukkan bangsa.




Monday 31 October 2011

Simpulan Bahasa 1

Perumpamaan 

Seperti rusa masuk kampung
  Maksud – tercengang-cengang kehairanan
√ Ayat – Pemuda dari kampung itu tercengang-cengang seperti rusa masuk  
     kampung kerana kali pertama tiba di Kuala Lumpur.

Bagai isi dengan kuku
  Maksud – hubungan yang sangat akrab
√ Ayat – Hubungan Irfan dan Mala sangat rapat bagai isi dengan kuku.

2.       Bidalan

Ada udang di sebalik batu
  Maksud – mempunyai niat tertentu di sebalik perbuatan yang dilakukan
√ Ayat – Sikap Fahmi seperti ada udang di sebalik batu setelah mengetahui  
     Datin Farida adalah seorang janda kaya.

Nasi sudah menjadi bubur
  Maksud – perbuatan/keterlanjuran yang tidak boleh dibaiki
√ Ayat – “ Tidak guna menyesali perbuatan yang telah lalu kerana nasi telah
     menjadi bubur,” kata Mak Limah kepada anaknya, Khalil.

3.       Pepatah

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
  Maksud – seseorang yang terpaksa bekerja keras kerana miskin
√ Ayat – Walaupun Pak Halim bekerja keras selama berpuluh-puluh tahun,  
     namun kehidupannya masih seperti dahulu ibarat kais pagi makan pagi, kais  
     petang makan petang.


Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
  Maksud – sikap tolong-menolong akan memudahkan sesuatu kerja.
√ Ayat – Majlis perkahwinan anak Pak Ali berlangsung dengan lancar hasil
     pertolongan penduduk kampung dan saudara-maranya seperti pepatah berat
     sama dipikul, ringan sama dijinjing.

4.       Simpulan Bahasa

Raja sehari
  Maksud – pengantin baru
√ Ayat - Abang saya akan menjadi raja sehari pada minggu hadapan.

Rambang mata
  Maksud – sukar memilih kerana semuanya sama
√ Ayat – Puan Azmira rambang mata semasa memilih baju di pasar raya itu           
     kerana semuanya cantik.

5.       Kata-kata Hikmat

Ilmu itu pelita hidup
  Maksud – ilmu pengetahuan menjamin kehidupan seseorang
√ Ayat – Kita tidak seharusnya jemu menuntut ilmu kerana ilmu itu pelita hidup.

Bahasa jiwa bangsa
  Maksud – bahasa ialah semangat sesuatu bangsa
√ Ayat – Penduduk negara ini bangga menggunakan bahasa kebangsaan  
     kerana bahasa jiwa bangsa.